
Article
Perkasa Integriti Demi Keunggulan Pasukan Timbalan Kpn
Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam Majlis Perjumpaan dan Penyampaian Amanat...
Kuantan, 5 Jun 2026 - Memperkasakan integriti merupakan tunjang utama yang perlu diperkukuhkan oleh seluruh warga Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan penugasan demi memastikan keunggulan perkhidmatan Pasukan di samping penyeliaan yang efektif oleh pegawai penyelia harus selari dengan arahan dan tindakan yang diambil.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam Majlis Perjumpaan dan Penyampaian Amanat bersama warga PDRM kontinjen Pahang yang berlangsung di Dewan Tun Razak, di sini, pagi tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Sri Yahaya Othman sebelum mengadakan sesi kunjungan hormat dan menandatangani buku pelawat.
Dalam amanatnya, Tan Sri Ayob Khan menegaskan agar seluruh warga PDRM terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh keikhlasan, integriti dan rasa tanggungjawab, di samping berpegang teguh kepada nilai-nilai agama serta prinsip moral yang tinggi.
Tambah beliau, pada masa yang sama, setiap warga Pasukan diingatkan agar menjauhi sebarang bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap Pasukan Sang Saka Biru.
Dalam majlis yang sama, Tan Sri Ayob Khan turut mengadakan perjumpaan bersama warga Cawangan Khas kontinjen Pahang bagi berkongsi pandangan dan menegaskan kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan Pasukan dalam mendepani cabaran keselamatan yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa.
Turut hadir, barisan ketua jabatan, ketua polis daerah dan ketua formasi kontinjen Pahang.
Jurugambar: PDRM RMP TV