
Article
Penilaian Kecekapan Dan Kecerdasan Uji Keupayaan K9 Pdrm
Kuala Lumpur, 19 April 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian D6 Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menganjurkan Penilaia...
Kuala Lumpur, 19 April 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian D6 Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menganjurkan Penilaian Kecekapan dan Kecerdasan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM bagi tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Program yang dihadiri oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain itu telah mempamerkan ketangkasan enam ekor anjing daripada baka German Shepherd dan Labrador. Kesemua anjing berkenaan telah terlibat dalam empat acara yang dipertandingkan iaitu IG Obedience dan Lompat Halangan, Mengesan Bahan Letupan dan Senjata, Mengesan Bahan Narkotik serta Hold and Bark/Mengawal Keganasan.
Dalam program diadakan, Lans Koperal Albert Patrick dari Unit K9 PULAPOL Kuala Lumpur bersama anjingnya bernama Henbriks telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan yang membawa pulang medal, sijil penghargaan dan piala pusingan.
Berucap merasmikan program, Tan Sri Razarudin menzahirkan ucapan penghargaan kepada Unit K9 khususnya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato' Sri Mohd Suhaily Mohd Zain atas penganjuran program tersebut.
"Sesungguhnya, program ini menjadi platform terbaik untuk menilai tahap kecekapan pemegang-pemegang anjing sekali gus boleh dijadikan kriteria untuk kenaikan pangkat para handler", ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, barisan Timbalan Pengarah PDRM, Ketua Penolong Pengarah D6, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Zuraimi Zam Zam selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, serta barisan Pegawai Kanan PDRM.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Lans Koperal Bryan Mustin.





\
\