
Pengerusi Perkep Malaysia Dianugerahkan A S D K Daripada Tyt Negeri Sabah
Kota Kinabalu, 7 November 2023 - Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman hari ini dianugerahkan Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K.) daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Hj. Juhar Hj. Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini.
Beliau yang juga suri kepada Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain dianugerahkan Darjah Negeri Sabah itu dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah sempena Ulang Tahun Rasmi Ke-70 Tahun TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah yang disambut pada 7 Oktober lalu.
Berangkat sama dalam istiadat tersebut ialah Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R. M. Jasni.
A.S.D.K. dikurniakan kepada individu yang tinggi taraf kedudukannya dan telah memberikan jasa cemerlang kepada Negeri Sabah khasnya dan negara Malaysia amnya.
Dalam istiadat yang sama, Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah turut diberi penghargaan oleh Kerajaan Negeri Sabah apabila dianugerahkan Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K.).
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh, ACP Pentadbiran Kontinjen Sabah, ACP Ahmad Jawila dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah.