Pdrm Tunggu Polis Thailand Selesai Siasat Justo
Kuala Lumpur, 6 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menunggu Polis Thailand selesai menjalankan siasatan terhadap bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI), Xavier Justo sebelum boleh dipertimbangkan untuk menyoal siasat warga Switzerland itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sebelum ini telah menyuarakan hasrat kepada Polis Thailand bagi membincangkan permintaan Malaysia untuk menemui Justo yang sedang ditahan di Thailand.
"Tiada perkembangan terkini setakat ini. Kita tunggu dahulu pihak Thailand selesaikan kes berkenaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan 300 topi keledar kepada anggota polis trafik Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pada 24 Jun lepas, Polis Thailand dilaporkan menahan Justo atas tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi yang menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama pernah dijalin dengan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.
Khamis lepas, Khalid telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Ketua Polis Thailand, Chaktip Chaijinda bagi membincangkan kebenaran menyoal siasat Justo berhubung kes berkenaan.
- BERNAMA