
Artikel
Pdrm Raih Tempat Kedua Bagi Dua Kategori Aipsa Tahun 2023
Putrajaya, 8 November 2023 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya meraih tempat kedua bagi dua kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Inovasi Perdana Sek...
Putrajaya, 8 November 2023 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya meraih tempat kedua bagi dua kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.
PDRM telah mempertaruhkan dua produk inovasi iaitu aplikasi Semak Mule daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di bawah kategori Anugerah Inovasi Sektor Awam (AInSA) serta Sistem Pusat Maklumat Data Raya PDRM dan Hab Geospatial Intelligence Led Policing daripada Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) di bawah kategori Anugerah DNA Inovasi Sektor Awam (ADISA).
Majlis Penyampaian AIPSA Tahun 2023 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang bertemakan "Malaysia MADANI Memperkasa Inovasi" itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir mewakili Pasukan untuk menerima hadiah bagi kedua-dua kategori dipertandingkan.
Penerima terbaik AIPSA bagi Tahun 2023 telah dimenangi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang memperkenalkan Audio Frequency Intercept System (AFIS).
Turut hadir, Timbalan PM merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, para jemaah menteri, Ketua Setiausaha (KSU) Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali, KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Hj. Ruji. Hj. Ubi, Pengarah JLog, CP Dato' Seri Sahabudin Abd Manan, Pengarah JSJK, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Sri Dr. Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Hj. Rodzi Md Saad, para pegawai kanan kerajaan dan rakan media.
Tahniah kumpulan inovasi PDRM. Seluruh warga Sang Saka Biru mengucapkan syabas dan tahniah kerana telah mengharumkan nama Pasukan dalam sektor awam!
Jurugambar: PDRM RMP TV










