
Article
Pdrm Persembah Demonstrasi Antikeganasan Di Hadapan Yang Di Pertuan Agong
Kuala Lumpur, 7 Februari 2022 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Bill...
Kuala Lumpur, 7 Februari 2022 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan berangkat menyaksikan Persembahan Demonstrasi Antikeganasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Ketibaan Seri Paduka Baginda pada jam 11.00 pagi tadi disambut Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin.
Acara demonstrasi pagi tadi dimulakan dengan persembahan tarian perang dari Pasukan Senoi Praaq, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, Perak sebelum aksi tembakan tepat menggunakan senjata jenis AW Rifle Sniper dan aksi tembakan “Confident Shooting” dari Unit Tindakhas dalam menunjukkan keberanian mereka menjalankan tugas kawalan rapat keselamatan ketika mengiringi tetamu kenamaan. Tidak ketinggalan juga, Tiger Platoon dari Batalion 5 dan 6 PGA melakukan aksi rondaan sempadan di hadapan para tetamu yang hadir menyaksikan demonstrasi tersebut.
Turut dipersembahkan aksi menyelamat tebusan dan menahan sekumpulan pengganas dari unit elit 69 Komando sebagai pasukan penggempur utama bersama Pasukan Gerakan Udara menggunakan helikopter Agusta Westland AW139 milik mereka. Lebih menarik lagi, Unit Anjing Pengesan (K9) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) turut mempamerkan kemahiran membantu pihak polis menumpaskan pengganas dalam demonstrasi yang diadakan.
Persembahan demonstrasi yang dipertontonkan kepada Seri Paduka Baginda itu bertujuan bagi memaparkan kesiapsiagaan elemen-elemen dan aset yang ada di dalam PDRM khususnya di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam serta JSJ dalam menangani ancaman krisis keganasan di negara ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Razarudin Husain dan barisan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan,Koperal Muhamad Rafsamjani Shamsul Bahar, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.


























