
Artikel
Pdrm Johan Keseluruhan Kejohanan Sukep 2023
Lebih bermakna buat Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai tuan rumah telah dinobatkan johan keseluruhan dengan memperolehi 33 mata diikuti Jabatan Bom...
Putrajaya, 5 November 2023 - Kejohanan Sukan Empat Penjuru (SUKEP) Tahun 2023 melabuhkan tirainya hari ini di Stadium Pancarona, Presint 18, di sini.
Lebih bermakna buat Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai tuan rumah telah dinobatkan johan keseluruhan dengan memperolehi 33 mata diikuti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 17 mata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 16 mata dan Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD) 11 mata bagi edisi kali ini setelah dua tahun tidak diadakan ekoran negara dilanda wabak COVID-19.
Dalam majlis penutup tadi turut diadakan pertandingan akhir bola sepak antara PDRM melawan ATM yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 0-0 dan ditentukan dengan sepakan penalti memihak kepada tuan rumah 3 berbalas 2 gol.
SUKEP yang telah berlangsung selama empat hari bermula 2 hingga 5 November 2023 mempertaruhkan tujuh jenis sukan iaitu Golf, Badminton, Bola Sepak, Tenpin Boling, Bola Tampar, Bola Jaring dan sukan baharu diperkenalkan pada edisi kali ini iaitu Ragbi 10 sebelah yang melibatkan beberapa lokasi perlawanan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Dalam majlis perasmian penutupan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua agensi kerana menjayakan kejohanan SUKEP secara penggiliran setiap tahun di mana ia dapat memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan mengeratkan silaturrahim.
Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera SUKEP daripada Pengarah Pengurusan, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim kepada Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Hj. Muhamad Norazlan Aris TUDM sebagai simbolik ATM bakal menjadi tuan rumah SUKEP 2024 dengan disaksikan oleh KSN.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak, Presiden Perbadanan Putrajaya, Dato TPr Fadhlun Mak Ujud, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Dato' Ts. Nor Hisham Mohammad, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Gilberd Philip Layang dan Setiausaha Majlis Sukan PDRM, Superintendan Muhammad Najib Hamzah.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery










































































