Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Pdrm Bersama Kerajaan Melaka Apabila Pasukan Memasak Lelaki Tunjuk Skill Memasak Depan Isteri Boleh Tahan Sedap

Published: 15 Dec 2024 2.25 PM Updated: 17 Jul 2026 3.33 AM
Melaka, 15 Disember 2024 - Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Kerajaan Negeri Melaka melabuhkan tirainya hari ini dengan diakhiri pertandingan memasak di antara empat kumpulan yang mengambil bahagian mempamerkan kemahiran memasak masing-masing di Villa D'Acqua Resort, di sini, pagi tadi. Empat kumpulan yang mengambil bahagian masing-masing diketuai oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh b
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/pdrm-bersama-kerajaan-melaka-apabila-pasukan-memasak-lelaki-tunjuk-skill-memasak-depan-isteri-boleh-tahan-sedap
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 06:32 MYT
 
Melaka, 15 Disember 2024 - Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Kerajaan Negeri Melaka melabuhkan tirainya hari ini dengan diakhiri pertandingan memasak di antara empat kumpulan yang mengambil bahagian mempamerkan kemahiran memasak masing-masing di Villa D'Acqua Resort, di sini, pagi tadi.

Empat kumpulan yang mengambil bahagian masing-masing diketuai oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi kumpulan Kerajaan Negeri dan Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain untuk PDRM.

Manakala isteri ketua menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz pula mengetuai kumpulan Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) dan isteri KPN, Puan Sri Datuk Zainah Othman pula Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia.

Banyak juga kejadian mencuit hati berlaku dalam pertandingan tadi apabila syarat pertandingan menetapkan kumpulan lelaki hendaklah memasak mengikut arahan daripada kumpulan isteri dan begitulah sebaliknya.

Hasilnya, kesemua kumpulan yang mengambil bahagian berjaya menyediakan juadah yang begitu menyelerakan iaitu kari kepala ikan dengan bubur chacha tradisional berserta kerabu mangga, satu menu yang tidak asing dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penilaian kepada “skills” memasak kesemua kumpulan yang mengambil bahagian tadi telah dinilai oleh Masterchef Selebiriti Malaysia, Chef Sabri Hassan dari Restoran Line Clear, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang pakar menyediakan juadah kari kepala ikan.

Majlis perasmian penutupan program tadi berlangsung kira-kira jam 2.00 petang dengan disempurnakan oleh Datuk Seri Utama Ab Rauf yang diapit oleh Tan Sri Razarudin bersama Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC Datuk Md Nazri Zawawi.

Dalam majlis tadi juga, Datuk Seri Utama Ab Rauf yang mewakili Kerajaan Negeri telah berbesar hati memberi sumbangan masing-masing berjumlah RM10,000 untuk kegunaan kebajikan kepada tiga buah ibu pejabat polis daerah dalam Kontinjen Melaka, disamping skuter elektrik bagi penugasan polis pelancong.

Kemuncak majlis tadi berlangsungnya acara penyampaian hadiah kepada para peserta yang mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung semalam dan johan pertandingan memasak bagi hari ini.

Kumpulan memasak PDRM yang dianggotai pucuk pimpinan Pasukan berjaya menggondol gelaran johan memasak mengenepikan tiga kumpulan lain iaitu BISTARI di tempat kedua, Kerajaan Negeri di tempat ketiga manakala PERKEP Malaysia berpuas hati di tempat keempat.

Terdahulu, berlangsungnya sesi penyampaian hadiah kepada johan menembak acara “falling plate” kumpulan lelaki yang berlangsung dekat Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada semalam yang diungguli kumpulan ‘Hang Tuah’, dianggotai sendiri oleh Datuk Seri Utama Ab Rauf bersama Tan Sri Razarudin.

Manakala naib johan disandang oleh kumpulan ‘Hang Jebat’ yang dianggotai oleh Exco-exco Kerajaan Negeri Melaka bersama pimpinan PDRM yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah - JSJ PDRM, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Md Zain.

Di tempat ketiga dan keempat, diberikan kepada kumpulan ‘Hang Kasturi’ dan ‘Laksamana Hassan’ yang masing-masing juga dianggotai oleh barisan Exco Kerajaan Negeri bersama pimpinan Pasukan.

Bagi keputusan menembak wanita, kumpulan ‘Dang Anum’ muncul johan diikuti naib johan yang disandang kumpulan ‘Sri Kandi Mawar” dan kumpulan ‘Tun Teja’ serta ‘Sri Kandi Melur’ masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Kesemua ahli kumpulan menembak tersebut disertai oleh ahli BISTARI dan PERKEP Malaysia yang diketuai pengerusi masing-masing iaitu Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah dengan Puan Sri Datuk Zainah.

Turut berlangsung penyampaian hadiah kepada para pemenang acara menembak “center fire” yang menyaksikan kehandalan “sharp shooter” Kerajaan Negeri disandang oleh Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Hj. Shadan Hj. Othman dan Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri untuk kategori PDRM.

Sebagai rekod, Dato’ Sri Mohd Yusri turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan lelaki dengan kutipan mata tertinggi menembak, manakala Puan Sri Datuk Zainah pula muncul juara kategori wanita.

Yang turut hadir, Ahli Undangan Dewan Negeri Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Dato' Azhar Hj. Arshad, Ketua Polis Selangor, CP Dato' Hussein Omar Khan, barisan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM, Ahli-ahli PERKEP Malaysia serta BISTARI Kerajaan Melaka.

Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Konstabel Muhammad Azri Sabr

May be an image of 6 people and text

May be an image of 4 people and text

May be an image of 6 people, dais and text

May be an image of 7 people, dais and text

May be an image of 3 people and text

May be an image of 7 people

May be an image of 1 person, dais and text

May be an image of 5 people and text


ArticlePublished 15 Dec 2024 2.25 PMUpdated 17 Jul 2026 3.33 AM