
Article
Paralimpik Tokyo 2020 Lans Koperal Nurul Suhada Fokus Berlatih Sasar Pingat Emas
Beliau yang digandingkan bersama pasangan berbasikalnya, Cik Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais mula menjalani latihan pada 21 Ogos lalu di Velodrome Izu dekat Tokyo...
Tokyo, 25 Ogos 2021 - Atlet para berbasikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mewakili negara ke acara sukan dunia, Lans Koperal Nurul Suhada Zainal mula memfokuskan latihan bagi memastikan hasrat untuk merangkul pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tercapai.
Beliau yang digandingkan bersama pasangan berbasikalnya, Cik Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais mula menjalani latihan pada 21 Ogos lalu di Velodrome Izu dekat Tokyo di bawah seliaan Jurulatih Para Berbasikal Kebangsaan merangkap “Deputy Chef De Mission” kontinjen kebangsaan, Encik Mohd Noh Sallehudin.
Sebagai rekod, Lans Koperal Nurul Suhada dan Cik Nur Azlia dijangka akan mula memberikan persaingan sengit kepada atlet para berbasikal antarabangsa lain dalam perlawanan pembuka tirai kategori “Women Tandem” pada 26 Ogos ini jam 9.00 pagi waktu Malaysia.
Seterusnya pada 31 Ogos depan dan 3 September 2021 pula, Lans Koperal Nurul Suhada dan Cik Nur Azlia akan sekali lagi membawa nama Malaysia untuk bersaing dalam acara para berbasikal di lebuhraya dekat perkampungan Fuji, di sini.
Buat Lans Koperal Nurul Suhada dan semua atlet paralimpik negara, doa kami seluruh warga Polis Diraja Malaysia sentiasa mengiringi kalian. Semoga kejayaan menjadi milik Kontinjen Malaysia. Demi Malaysia, selamat maju jaya!