
Article
Opbanjir Posting Pilihan Banjir Di Hulu Terengganu Serius Kawasan Belum Pernah Banjir Turut Terjejas
Hulu Terengganu, 27 Februari 2022 - Banjir yang melanda daerah ini disifatkan sebagai yang paling serius berlaku berikutan beberapa kawasan terjejas sebelum in...
Hulu Terengganu, 27 Februari 2022 - Banjir yang melanda daerah ini disifatkan sebagai yang paling serius berlaku berikutan beberapa kawasan terjejas sebelum ini tidak pernah dinaiki air.
Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya telah mengenal pasti lima zon bencana banjir besar melibatkan 25 kampung di daerah berkenaan.
"Di kawasan Jalan Sekayu selama ini tak pernah banjir, ini kali pertama banjir dan situasinya agak serius sebab paras air sampai ke bumbung rumah penduduk kampung.
"Sebanyak 14 jalan utama terputus hubungan dan hanya boleh lalu menggunakan bot termasuk ke Empangan Kenyir," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini, hari ini.
Katanya setakat ini sebanyak 1,432 penduduk telah berjaya dipindahkan dan sebanyak 21 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu.
Dato' Rohaimi berkata, pihaknya telah melakukan persiapan rapi dan mempunyai kekuatan anggota mencukupi setakat ini dengan dibantu pelbagai agensi termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Sumber: Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu dan BERNAMA