
Op Selamat 16 2020 Kecuaian Pemandu Dan Penunggang Motosikal Punca Utama Kemalangan Maut
Kuala Lumpur, 5 Februari 2020 – Kecuaian sendiri dan penunggang motosikal merupakan punca utama kemalangan maut berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya sepanjang tempoh Op Selamat 16/2020 dilancarkan bersempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Pahlawan Mazlan Mansor berkata, analisa yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sikap kecuaian pemandu dan penunggang motosikal masih menjadi penyumbang tertinggi kes kemalangan iaitu sebanyak 66 kes dan pengguna motosikal 147 kes.
Tambahnya, jumlah kemalangan sepanjang Op Selamat 16/2020 sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang berakhir 2 Februari lalu meningkat kepada 23,208 kes berbanding 20,829 kes pada Op Selamat 14/2019 tahun lalu.
"Secara purata, kadar kes kematian yang dicatatkan pada hari-hari biasa adalah sebanyak 17 kematian sehari. Namun dengan adanya operasi ini, ia berjaya diturunkan kepada 15 kematian dalam sehari," ujarnya lagi.
Op Selamat 16/2020 ini turut merekodkan peningkatan jumlah pengeluaran saman atas pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 399,988. Dalam masa yang sama, melalui tawaran diskaun sebanyak 50 peratus bagi saman terpilih yang dilancarkan selama lima hari bermula dari 18 Januari sehingga 22 Januari 2020 lalu, sebanyak 402,714 saman telahpun dijelaskan. Kesalahan pandu laju merupakan saman paling tinggi diselesaikan oleh pengguna jalan raya iaitu sebanyak 260,792 saman.
Dalam usaha mengekang masalah pemanduan di bawah pengaruh alkohol, Op Mabuk juga telah diadakan sepanjang Op Selamat diadakan. PDRM memandang serius isu ini dan menyokong penuh keputusan Kabinet untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya.
Dato' Pahlawan Mazlan turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada PLUS Malaysia Berhad, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, St. John Ambulans Malaysia dan konsesi-konsesi lebuh raya yang bersama-sama menjayakan kempen Op Selamat kali ini.
Bersempena Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 16/2020 hari ini, Kontinjen Perak dinobatkan sebagai kontinjen terbaik Op Selamat 16/2020, disusuli oleh Kontinjen Pulau Pinang dan Kontinjen Perlis. Manakala bagi peringkat daerah pula, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah diumum sebagai daerah terbaik, IPD Segamat, Johor dan IPD Dalat, Sarawak masing-masing di kedudukan kedua serta ketiga. Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Dato’ Pahlawan Mazlan kepada para pemenang.
Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, YBhg. Dato' Azman Ismail, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, YBhg Dato' Mohamad Nasir Ab Latif, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, DCP Dato’ Azisman Alias, barisan pengarah PDRM, Ketua-ketua Jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO), Pegawai Kanan PDRM, agensi-agensi penyelamat serta wakil media.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Pahlawan Mazlan Mansor bergambar kenangan bersama penerima-penerima anugerah Kontinjen Dan Daerah Terbaik Op Selamat Tahun Baharu Cina 16/2020.
Sekitar Majlis Penganugerahan Kontinjen Dan Daerah Terbaik Op Selamat Tahun Baharu Cina 16/2020.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor menyampaikan anugerah tempat ketiga kepada IPD Dalat, Sarawak bagi kategori daerah terbaik Op Selamat 16/2020 Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor menyampaikan anugerah tempat kedua kepada IPD Segamat, Johor bagi kategori daerah terbaik Op Selamat 16/2020 Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor menyampaikan anugerah kepada IPD Perak Tengah, juara bagi kategori daerah terbaik Op Selamat 16/2020 Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor menyampaikan anugerah tempat ketiga kepada Kontinjen Perlis bagi kategori kontinjen terbaik Op Selamat 16/2020 Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor menyampaikan anugerah tempat kedua kepada Kontinjen Pulau Pinang bagi kategori kontinjen terbaik Op Selamat 16/2020 Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor menyampaikan anugerah kepada Kontinjen Perak, juara bagi kategori kontinjen terbaik Op Selamat 16/2020 Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.