Nelayan Terapung 16 Jam Diselamatkan Marin Mersing
Mersing, 7 Julai - Seorang nelayan yang terapung selama 16 jam berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berhampiran Pulau Pemanggil, dekat sini, semalam.
Menurut Komander PPM Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chiang, pasukannya melihat seorang lelaki sedang terapung berhampiran Pulau Pemanggil semasa menjalankan tugas membawa pegawai dan anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing ke Pulau Aur.
"Pihak kami terus bergegas ke lokasi bagi menyelamatkan lelaki warga tempatan yang berusia 47 tahun," katanya.
"Seterusnya mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Aur untuk rawatan dan dalam keadaan baik," tambah beliau.
Bot yang dinaiki mangsa bersama dua lagi rakannya telah karam akibat ombak besar yang menyebabkan air memasuki bot pada 5 Julai lalu.
Kedua-dua rakan mangsa juga turut selamat apabila ditemui hanyut oleh sebuah bot nelayan di perairan laut Pulau Tinggi, dekat sini, semalam.