
Artikel
Nahas Trak Psp Kpn Sempurnakan Majlis Serah Sumbangan Kepada Balu Waris Dan Mangsa
Ipoh, 25 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain, hari ini menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kepada balu, waris dan mangsa na...
Ipoh, 25 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain, hari ini menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kepada balu, waris dan mangsa nahas kemalangan jalan raya membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5, Sungai Senam di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pagi tadi.
Ketibaan Tan Sri Razarudin disambut oleh Ketua Polis Perak, CP Dato’ Noor Hisam Nordin di pekarangan Mes IPK Perak.
Berucap dalam majlis diadakan, Tan Sri Razarudin berkata, keluarga atau waris anggota yang terkorban telah menerima sumbangan wang tunai berjumlah lebih RM46,000, manakala mangsa yang mengalami kecederaan menerima sumbangan dianggarkan lebih RM11,000.
“Selain itu, suka untuk saya kongsikan bahawa balu atau waris mangsa yang meninggal dunia turut menerima RM25,000 setiap seorang daripada Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara yang telah dikreditkan pada 23 Mei 2025,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan, termasuk Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Kontinjen Perak, IPK Johor, Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad, Yayasan Insan Sakan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. dan Enforcement Leadership and Management University.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman, Pengarah Jabatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM (KDNKA), CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim dan isteri merangkap Pengerusi PERKEP Jabatan KDNKA, Datin Sri Sharifah Rodziah Syed Agil, Ketua Polis Johor, CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, Pengerusi PERKEP Kontinjen Perak, Datin Noormawati Abdul Latip, barisan wakil penyumbang dan rakan-rakan media.
Jurugambar: Lans Koperal Norkhairunisa Ibrahim & Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri