
Artikel
Nafsle 2023 Bertemakan Keadilan Melalui Forensik Simposium Kongsi Ilmu Siasatan Rentasi Jabatan
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyedari bahawa siasatan konvensional tidak lagi berkesan untuk menangan...
Cheras, 7 September 2023 - Perkongsian data dan maklumat berkaitan sains forensik secara meluas di antara pelbagai Kementerian, Jabatan serta Agensi penyiasatan dalam negara mampu merungkai pelbagai cabaran siasatan saintifik dalam konteks perundangan.
"Seiring dengan perkembangan trend jenayah masa kini, pendekatan siasatan sains forensik harus diaplikasikan secara meluas dalam setiap penyiasatan kes jenayah dan sistem keadilan di negara ini", ujarnya semasa berucap dalam Majlis Penutupan 4th National Forensic Science Symposium for Law Enforcement (NAFSLE) 2023 yang berlangsung dekat Maktab PDRM Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Menurutnya lagi, pendekatan siasatan sains forensik hendaklah diaplikasikan secara meluas dalam setiap penyiasatan kes jenayah dan sistem keadilan di negara ini serta program seumpama itu mampu memberi pendedahan meluas kepada pegawai penyiasat di lapangan.
Simposium bertemakan 'Keadilan Melalui Forensik', dihadiri kira-kira 300 peserta dari pelbagai agensi termasuk PDRM, dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Selasa lalu.
Melalui simposium selama tiga hari itu, para peserta yang hadir turut diberi pendedahan mengenai inovasi peralatan berteknologi tinggi dalam membantu pengoperasian, penyiasatan dan pendakwaan kes-kes jenayah.
Sebanyak sembilan ceramah berkaitan sains forensik disampaikan dalam simposium tersebut yang antara pembentangnya ialah Pengarah Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Cawangan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh, Pengarah Bahagian Kriminalistik, Jabatan Kimia Malaysia, Tuan Saiful Fazamil Mohd Ali dan Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sr. Dr. Mohd Farid Mohd Ariff.
Seusai perasmian tadi, Tan Sri Razarudin bersama timbalannya, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay telah dibawa melawat tapak-tapak pameran di perkarangan lobi Maktab PDRM Kuala Lumpur yang disediakan oleh Bahagian D10 Makmal Forensik JSJ Bukit Aman.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato' Sri Mohd Kamarudin Md Din, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato' Sri Mat Kasim Karim, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ Bukit Aman mewakili Pengarah JSJ, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain selaku pengerusi jawatankuasa penganjur, DCP Dato' Rusdi Mohd Isa dan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dato’ Pahlawan Anuar Othman.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.