
Article
Mes Pkp Pdrm Rai Pesara Polis Seluruh Negara
Kuala Lumpur, 21 Disember 2025 – Mes Pegawai Kanan Polis (PKP) Polis Diraja Malaysia (Mes PDRM) telah menganjurkan Majlis Malam Mes Pesara PDRM Tahun 2025 bert...
Kuala Lumpur, 21 Disember 2025 – Mes Pegawai Kanan Polis (PKP) Polis Diraja Malaysia (Mes PDRM) telah menganjurkan Majlis Malam Mes Pesara PDRM Tahun 2025 bertemakan "Honouring the Gold and Bold" sebagai penghargaan kepada para pesara pegawai kanan polis yang telah dan akan bersara tahun 2025 dengan penuh dedikasi serta meninggalkan legasi cemerlang kepada Pasukan dan negara.
Seramai 92 pesara PKP dari seluruh negara telah memenuhi undangan menghadiri majlis yang diadakan malam tadi, termasuk tokoh-tokoh kepimpinan Pasukan yang pernah menerajui jabatan PDRM seperti bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, pesara CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yousuf serta bekas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, pesara CP Dato’ Sri Azri Ahmad.
Berucap dalam majlis tersebut, Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail merangkap Yang Dipertua Mes, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pesara atas jasa, pengorbanan serta sumbangan tidak ternilai yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam Pasukan, sekali gus menyifatkan mereka sebagai wira negara.
"Jasa dan pengorbanan para pesara PDRM tidak ternilai, dizahirkan melalui kesetiaan, keikhlasan dan amanah sepanjang perkhidmatan. Sumbangan bakti ini akan terus dikenang dalam sejarah PDRM. Berteraskan integriti dan disiplin tinggi, para pesara telah meninggalkan rekod profesional yang membanggakan demi kesinambungan peranan PDRM. Tahniah diucapkan," ujar beliau.
"Saya berharap para pesara terus menyumbang sokongan, nasihat dan pandangan demi kesinambungan kepimpinan PDRM serta keselamatan masyarakat. Persaraan juga wajar dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan keluarga," tambah beliau.
Mewakili para pesara yang diraikan dalam majlis yang diadakan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, CP Datuk Ts. Ramdzan Daud merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM atas keprihatinan serta pengiktirafan berterusan terhadap jasa dan sumbangan para pesara.
Sebagai simbol penghargaan dan kenangan, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid seterusnya menyampaikan cenderahati kepada semua pesara yang hadir sebelum majlis melabuhkan tirainya dalam suasana penuh hormat dan penghargaan.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery





