
Artikel
Majlis Khatam Al Quran Peringkat Bukit Aman Semarakkan Penghayatan Ihya Ramadan
Kuala Lumpur, 9 Mac 2026 – Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Bukit Aman menyemarakkan lagi penghayatan ‘ihya Ramadan dengan memperkukuh amalan tadarus al-Quran...
Kuala Lumpur, 9 Mac 2026 – Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Bukit Aman menyemarakkan lagi penghayatan ‘ihya Ramadan dengan memperkukuh amalan tadarus al-Quran dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang hadir mewakili Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail di Masjid Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), CP Dato’ Aida Abdul Hamid serta Timbalan Pengarah (Bahagian Agama dan Kaunseling), JIPS Bukit Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Masjid Bukit Aman, DCP Datuk Azhan Abdul Halim.
Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pentadbiran Masjid Bukit Aman itu bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping memperkukuh keimanan melalui amalan membaca dan mentadabbur al-Quran secara istiqamah. Program yang disertai seramai 131 orang yang daripada pegawai polis daripada pelbagai pangkat dan pegawai awam itu bukan sahaja meningkatkan kefahaman terhadap al-Quran, malah menjadi medium menghidupkan sunnah serta meraih keberkatan dan petunjuk daripada Allah SWT.
Tertib atur cara dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang melibatkan 20 wakil jabatan PDRM. Majlis tersebut telah dipimpin oleh Naqib merangkap Ketua Imam Masjid Bukit Aman, Ustaz Muhammad Amzar Fitri Wan Mohd Azlan bersama Sarjan Mejar Hj. Razlee @ Roslee Asmat.
Seusai majlis, Tan Sri Ayob Khan turut berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada para peserta serta fasilitator tadarus al-Quran yang mengambil bahagian dalam program tersebut.
Turut hadir, barisan Timbalan Pengarah PDRM, ahli-ahli PERKEP dan kariah Masjid Bukit Aman.
Jurugambar: PDRM RMPTV




