Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Lelaki Ditahan Terlibat Sindiket Penipuan Kad Kredit Rm153 800

Diterbitkan: 08 Jul 2015 9.11 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Melaka, 8 Julai- Polis Melaka menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan kad kredit sebanyak RM153,800 milik seorang peniaga di sini pada Mei lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/lelaki-ditahan-terlibat-sindiket-penipuan-kad-kredit-rm153-800
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 18:54 MYT

Melaka, 8 Julai- Polis Melaka menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan kad kredit sebanyak RM153,800 milik seorang peniaga di sini pada Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt Ee Khong Koy berkata lelaki tersebut ditahan di Petaling Jaya, Selangor kira-kira pukul 4 petang kelmarin.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah menyamar sebagai pegawai bank yang menghubungi mangsa dan memberitahu mangsa mempunyai tunggakan kad kredit dan segala panggilan didakwa dipantau oleh pihak Bank Negara.

Katanya mangsa berumur 54 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon kononnya daripada bahagian kad kredit bank pada 6 Mei lepas yang menyatakan dia telah berhutang sebanyak RM3,000 dan diminta memindahkan semua wang yang masih ada di dalam akaunnya ke nombor akaun yang diberikan suspek.

Mangsa kemudiannya mengikuti segala arahan yang diberikan suspek dan telah membuat dua transaksi iaitu pada 8 Mei sebanyak RM73,800 dan 11 Mei sebanyak RM80,000, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka di sini hari ini.

Katanya pihak polis sedang memburu seorang lagi suspek dipercayai rakan suspek yang turut terlibat dalam kes tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ee berkata statistik kes Macau Scam di negeri ini menunjukkan penurunan 76.74 peratus dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

"Sebanyak 10 kes dilaporkan dari Januari hingga Jun tahun ini melibatkan kerugian sebanyak RM285,587 berbanding 43 kes dalam tempoh sama tahun lepas melibatkan kerugian sebanyak RM1.3 juta," katanya.

Beliau berkata antara kes yang banyak berlaku pada tahun lepas adalah berkaitan sindiket penyamaran sebagai anggota polis, manakala tahun ini banyak melibatkan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis Hong Kong.

Katanya orang ramai dinasihat supaya berwaspada dan tidak terpedaya dengan sindiket penipuan melalui talian telefon yang dikenali sebagai 'Macau Scam'.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 08 Jul 2015 9.11 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM