Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Lelaki Disyaki Anak Sampai Mati Ditahan

Diterbitkan: 06 Dec 2018 2.07 PM Dikemas kini: 24 Aug 2026 1.15 PM
Kuala Lumpur, 6 Disember 2018 - Polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun hari ini, selepas disyaki mendera anaknya berusia 10 tahun sampai mati.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/lelaki-disyaki-anak-sampai-mati-ditahan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 07:13 MYT

Kuala Lumpur, 6 Disember 2018 - Polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun hari ini, selepas disyaki mendera anaknya berusia 10 tahun sampai mati.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof, berkata suspek ditahan di Balai Polis Semenyih, Kajang, kira-kira jam 9.30 pagi untuk membantu siasatan.

“Semalam, pada jam 10.30 malam, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan daripada seorang doktor Jabatan Kecemasan Hospital Serdang selepas menerima seorang kanak-kanak lelaki yang dibawa oleh keluarganya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan lanjut oleh doktor kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia, terdapat kecederaan fizikal iaitu kesan luka di kepala, badan serta kaki dan tangan, selain terdapat kesan lebam di seluruh badan si mati.

“Bedah siasat kemudian mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan tumpul yang berganda pada keseluruhan badan, mayat mangsa dicam oleh ibu dan adiknya di Hospital Serdang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, si mati adalah anak kedua dari tiga orang adik beradik dan ketiga-tiga mereka di bawah jagaan suspek selepas isteri suspek keluar daripada rumah sejak dua bulan lalu.

“Permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kajang, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Azlinda Abtu di nombor 012-6853281,” katanya.

ArtikelDiterbitkan 06 Dec 2018 2.07 PMDikemas kini 24 Aug 2026 1.15 PM