
Legasipejuangseragambiru Dsp Mohd Noor Razak
#LegasiPejuangSeragamBiru DSP MOHD. NOOR RAZAK
Deputi Superintendan (DSP) Mohd. Noor Razak dilahirkan di Kuala Muda, Kedah pada 31 Julai 1949. Beliau mula berkhidmat dalam pasukan polis pada 8 Jun 1969 sebagai Konstabel dan menjalani latihan asas kepolisan di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Beliau telah bersara wajib pada 31 Julai 2005.
DSP Mohd. Noor dianugerahkan Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani (PGB) adalah sebagai menghargai pengorbanan dan semangat keperwiraan beliau ketika mengetuai Op Rambo II pada 24 Julai 1994 di Sabah. Operasi tersebut adalah bertujuan menghapuskan kumpulan pengganas pendatang asing tanpa izin warga Filipina yang diketuai oleh Rizal Akin.
Pada peringkat awal, rundingan dengan pengganas warga Filipina tersebut berjalan dengan lancar. Sehinggalah keadaan menjadi tegang lantas mengakibatkan berlaku pergelutan di antara pihak polis dan kumpulan pengganas tersebut. Rizal Akin bergelut untuk melepaskan diri dan ingin mencapai senjata yang disembunyikan. Melihat keadaan itu, DSP Mohd. Noor dengan pantas bertindak memberikan perlindungan kepada anggotanya dengan menolak Rizal Akin sehingga menyebabkan ketua pengganas tersebut tercampak ke bot berhampiran.
Insiden tersebut menyebakan beberapa pengganas lain berang dan mula menyerang pihak polis dengan menggunakan benet. Walau bagaimanapun, DSP Mohd. Noor sekali lagi dengan beraninya menendang benet musuh bagi menyelamatkan anggotanya. Berang dengan tindakan DSP Mohd. Noor, kumpulan pengganas warga Filipina tersebut terus melepaskan beberapa das tembakan sehingga mengenai kaki kiri dan tangan DSP. Mohd. Noor. Dengan semangat juang yang tinggi, DSP. Mohd. Noor terus memberikan perlindungan kepada anggotanya dan membalas tembakan sehingga berjaya menangkap semula kumpulan pengganas tersebut termasuk ketuanya, Rizal Akin.
Rentetan daripada peristiwa tersebut, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke X, Tuanku Ja’afar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman telah berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat PGB kepada DSP Mohd. Noor Razak pada pada 6 Jun 1996.
#PolisDirajaMalaysia
#RoyalMalaysiaPolice
#PDRM
#RMP
#InfoBersama
#InfoPDRM
#LegasiPejuangSeragamBiru