
Artikel
Ldp Ctt 2022 69 Komando Pamer Aksi Tangkas Selamatkan Tebusan Di Myra Batu Gajah
Batu Gajah, 18 Julai 2022 - Pekan Batu Gajah, di sini, 'gempar' apabila seorang kenamaan bersama pemandu peribadinya dilarikan beberapa 'pengganas' dengan 'men...
Batu Gajah, 18 Julai 2022 - Pekan Batu Gajah, di sini, 'gempar' apabila seorang kenamaan bersama pemandu peribadinya dilarikan beberapa 'pengganas' dengan 'menawan' sebuah keretapi Electric Train Services (ETS) milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad).
Turut dijadikan 'tebusan' oleh para pengganas tadi ialah beberapa orang awam dengan petugas KTMB yang berada di dalam ETS.
Namun, senario panik itu hanyalah salah satu adegan dalam Latihan Akhir Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Counter Terrorist Team (CTT) Skuadron Bravo Siri 1/2022, anjuran bersama 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Malaysian Railway Academy (MyRA).
Ketangkasan gerak menyelamat oleh 69 Komando itu di MyRA Batu Gajah tadi jelas memukau tetamu dan rakan wartawan yang hadir membuat liputan.
Kemunculan beberapa aset darat milik pasukan elit tersebut dan aset udara dari Pasukan Gerakan Udara seperti dron jenis DJI Matrice 300 RTK dengan disusuli bunyi letupan tembakan untuk menumpaskan pengganas, nyata memberi satu gambaran ancaman sebenar yang dihadapi oleh warga PDRM.
Dalam LDP pagi tadi, Pegawai Medan 69 Komando, DSP Hamzah Abdul Rani telah memainkan peranan utama dengan bertanggungjawab merancang segala pelan tindakan simulasi di lapangan.
Menurut Komander 69 Komando, SAC Dato' Abdul Razak Mohd Yusoff, LDP itu melibatkan sejumlah 60 pegawai dan anggota 69 Komando serta tujuh buah aset darat termasuk udara.
Turut hadir menyaksikan LDP tersebut ialah Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif, Ketua MyRA, Encik James Warren, Pengurus Kanan Depoh ETS Batu Gajah, Encik Zuraime Mohamad, Pengurus Polis Bantuan (PB) KTMB, DSP PB Harizan Hassan serta Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Wilayah Utara, Encik Irwan Rashid.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.