
Article
Lawatan Kerja Timbalan Kpn Ke Lima Pos Pga Sektor Tawau Dan Semporna
Tawau, 28 Januari 2022 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Razarudin Husain tiba di Kontinjen Sabah untuk mengadakan lawatan kerja ke lima...
Tawau, 28 Januari 2022 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Razarudin Husain tiba di Kontinjen Sabah untuk mengadakan lawatan kerja ke lima pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA), sektor Tawau dan Semporna.
Ketibaan beliau semalam di Lapangan Terbang Tawau bersama Pengarah Pengurusan, CP Dato' Zaini Jass disambut oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Jauteh Dikun bersama Komander Eastern Command, DCP Tuan Hj. Hamzah Hj. Ahmad.
Lawatan kerja tersebut antara lainnya bertujuan meninjau kesiapsiagaan dan atur gerak Polis Diraja Malaysia khususnya dalam melaksanakan operasi kawalan sempadan negara di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Antara Pos-pos Kawalan PGA yang dilawati ialah Pos Sungai Melayu, Pos Wallace Bay, Pos Burst Point, Pos Omadal dan Pos Kalapuan.
Dalam rangka lawatan kerja, Timbalan KPN bersama delegasi telah diberi taklimat oleh Komander Briged Sabah, SAC Tuan Abdul Rani Alias berkaitan perjalanan operasi harian di Pos-pos Kawalan PGA tersebut.
Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am), Bukit Aman, DCP Dato’ Kasuahdi Ali, Timbalan Pengarah (Teknologi/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, DCP Dato’ Shukri Abdullah, Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), SAC Tuan Kamaruzaman Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, SAC Tuan Mohd Sukri Kaman.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin dan Koperal Muhamad Rafsamjani Shamsul Bahar.