
Lawatan Kerja Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat Ke D11 Jsj Bukit Aman
Kuala Lumpur, 20 Februari 2023 - Buat julung kalinya Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia dikunjungi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hjh. Nancy Hj. Shukri bersempena lawatan kerja di sini, pagi tadi.
Ketibaan Dato’ Sri Hjh. Nancy telah disambut oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Razarudin Husain bersama Pengarah JSJ, CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan di perkarangan Menara 2, Bukit Aman.
Lawatan kerja tersebut sebagai platform perbincangan bersama pegawai-pegawai kanan PDRM khususnya D11 mengenai isu-isu semasa dalam kes-kes jenayah seksual, penderaan dan keganasan rumah tangga terhadap kanak-kanak serta wanita di negara ini.
Selain itu, Dato’ Sri Hjh. Nancy turut berkesempatan mengadakan lawatan ke Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC), JSJ bagi melihat sendiri pengoperasian pusat tersebut yang terletak di Persiaran Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita, DCP Dato' Nerita Yaacob, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, DCP Dato' Hussein Omar Khan, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ Bukit Aman, DCP Dato' Rusdi Mohd Isa, Ketua Penolong Pengarah D11, JSJ Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan serta para pegawai kanan dari KPWKM dan D11 Bukit Aman.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Irfan Bujang, Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.