
Latihan Menembak Bersama Media Pupuk Kefahaman Penugasan Utk
Sungai Buloh, 2 Februari 2020 - Sempena ulang tahun ke-45 penubuhannya, Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan satu program latihan menembak bersama para pengamal media di Lapang Sasar PDRM, di sini, pagi tadi.
Program yang melibatkan seramai 65 peserta itu bertujuan mengeratkan lagi kerjasama antara polis dengan pihak media dalam melaporkan sesuatu pencapaian dan kejayaan Pasukan kepada masyarakat.
Selain itu, program berkenaan turut diadakan bagi memupuk persefahaman terbaik tentang keperluan tugas UTK kepada pihak media, terutama penugasan melibatkan kawalan keselamatan ke atas pemimpin negara dan tetamu kehormat (VVIP).
"Kepentingan pengamal media dalam mematuhi prosedur kawalan keselamatan ke atas VVIP dan kepatuhan terhadap nasihat serta arahan oleh operatif UTK merupakan tanggungjawab bersama dalam memastikan matlamat masing-masing tercapai," ujar Komander UTK, SAC Tuan Mohd Khairi Khairudin ketika berucap pada majlis perasmian program.
Dalam program sama, Tuan Mohd Khairi turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi dua kategori yang dipertandingkan iaitu ketepatan individu dan jatuhan piring berkumpulan.
Bagi kategori ketetapan individu, Encik Aliff Shaddam Ibrahim dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memenangi tempat pertama dengan memperoleh markah sebanyak 83 peratus, diikuti Puan Minderjeet Kaur Daleep Singh Bhatt dari Free Malaysia Today (FMT) di tempat kedua dengan 82 peratus dan Encik Mohd Hanies Azmi di tempat ketiga dengan 75 peratus.
Manakala tempat pertama bagi kategori jatuhan piring berkumpulan dimenangi Team H yang diketuai oleh Ketua Juruiring Perdana Menteri, ACP Zaidi Ali Ibrahim, tempat kedua dimiliki oleh Team A yang diketuai Komander UTK dan tempat ketiga berjaya diduduki Team L yang diketuai oleh Timbalan Komander (Operasi) UTK, ACP Mohd Suzrin Mohd Rodhi.
Program turut dimeriahkan dengan gimik menyelamat VVIP dan persembahan menembak oleh para pegawai serta anggota operatif UTK yang ternyata memukau perhatian semua para hadirin.
Antara yang hadir adalah Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Puan Sonia A.Ramachandaran, Timbalan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Encik Abdul Muhaimin Mohd Muhayeddin, Pengurus Besar Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (Media Prima), Puan Wan Sabariah Shikh Ali, para pegawai kanan dan anggota UTK serta rakan media.
Rakan media bergambar kenangan bersama Komander UTK, SAC Tuan Mohd Khairi Khairudin.
Sekitar Latihan Kemahiran Menembak Bersama Media Sempena Sambutan Hari Ulangtahun Unit Tindakhas Ke-45 di Lapang Sasar PDRM.
Sekitar demostrasi Unit Tindakhas yang berlangsung di Lapang Sasar PDRM.
Ucapan oleh Komander UTK, SAC Tuan Mohd Khairi Khairudin.
Sekitar demostrasi Unit Tindakhas yang berlangsung di Lapang Sasar PDRM.
Sekitar demostrasi Unit Tindakhas yang berlangsung di Lapang Sasar PDRM.
Sekitar demostrasi Unit Tindakhas yang berlangsung di Lapang Sasar PDRM.
Sekitar Latihan Kemahiran Menembak Bersama Media Sempena Sambutan Hari Ulangtahun Unit Tindakhas Ke-45 di Lapang Sasar PDRM.
Bergambar kenangan.