
Larian Amal Pupuk Sikap Kesedaran Banteras Jenayah Dan Dadah
Putrajaya, 20 Januari 2020 – Polis Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Alumni PALAPES U-Putra (ALPUTRA) telah menganjurkan Larian Amal Membanteras Jenayah dan Dadah 2020 di Monumen Alaf Baru, di sini semalam bagi menyedarkan masyarakat tentang isu jenayah dan penyalahgunaan dadah di negara ini.
Larian yang julung kali diadakan itu turut bertujuan mengumpul dana untuk digunakan dalam program-program berkaitan yang dirancang sepanjang tahun ini.
Berkonsepkan 'fun run' sejauh lima dan 10 kilometer, seramai hampir 3,000 peserta yang terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), ALPUTRA, mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) dan orang awam telah mengambil bahagian.
Para peserta juga tidak melepaskan peluang untuk melihat persembahan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM, T-Baton dan demonstrasi pencegahan jenayah yang dipersembahkan oleh pegawai serta anggota Polis Kuala Lumpur.
Turut disediakan booth-booth pameran seperti kaunter semakan dan pembayaran saman trafik serta pameran dari jabatan-jabatan PDRM.
Program diteruskan dengan penyerahan sumbangan berupa replika cek oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor kepada wakil-wakil bagi Tabung Kebajikan UPM, Tabung Kebajikan Sukan dan Sosial, Kontinjen Kuala Lumpur dan ALPUTRA.
Antara tetamu yang hadir ialah Pengarah Pengurusan PDRM, CP Dato’ Abd Rahim Jaafar, Ketua Polis Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Larian Amal Membanteras Jenayah dan Dadah 2020, CP Datuk Seri Haji Mazlan Lazim, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Dato’ Yong Lei Choo, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Profesor Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon, pihak pengurusan tertinggi UPM dan para pegawai kanan PDRM.