
Article
Kpn Tinjau Kesiapsiagaan Pdrm Sempena Sidang Kemuncak Asean Ke 47
Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini turun padang meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan pe...
Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini turun padang meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan petugas keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sempena raptai persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Oktober ini.
Tinjauan yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu bertujuan menilai aspek keselamatan dan kelancaran pergerakan semasa persidangan berkenaan, selain memastikan kesiapsiagaan anggota dan pegawai yang terlibat berada pada tahap optimum.
Dalam tinjauan tersebut, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut menerima taklimat operasi keselamatan daripada Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, CP Dato’ Fisol Salleh, yang diadakan di Bilik Gerakan KLCC.
Tinjauan hampir satu jam yang dilakukan itu meliputi kawasan sekitar KLCC termasuk laluan pergerakan utama yang akan digunakan oleh para delegasi dan tetamu kenamaan semasa persidangan berlangsung.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Kamaruzaman Abdullah serta Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman bersama para pengamal media.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.



