Artikel
Kpn Timbalan Menteri Keselamatan Awam China Bertemu Di Beijing Bincang Kukuhkan Hubungan Penyelidikan Dan Pembangunan Kepolisan
Beijing, 20 November 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bertemu Timbalan Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China, H.E Mr. Sun...
Beijing, 20 November 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bertemu Timbalan Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China, H.E Mr. Sun Maoli di kementerian tersebut dalam rangka lawatan kerja ke negara Asia Timur itu, bermula Isnin lalu.
Tan Sri Razarudin menyatakan bahawa hubungan diplomatik negara Malaysia dan China yang bermula sejak abad ke-14 lalu kini telah memasuki fasa baru dan semakin kukuh melalui pelbagai kerjasama termasuk bidang kepolisan yang nyata memberikan impak positif besar buat negara, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam satu nota perbincangan bersama yang diterima, Tan Sri Razarudin berkata PDRM di bawah Kementerian Dalam Negeri bersedia bekerjasama dengan China untuk memeterai perjanjian dalam mencegah dan memerangi jenayah transnasional dengan melibatkan tiga kumpulan sasaran kerja iaitu bidang keselamatan, imigresen dan kepolisan.
Tegas beliau, kerjasama PDRM dengan Kementerian Keselamatan Awam China penting dalam menangani pelbagai isu dan ancaman jenayah di peringkat global yang dihadapi oleh kedua-dua negara bersahabat.
Antara isu pokok jenayah yang terlibat dalam perkara itu termasuklah penyeludupan dadah dan senjata api, bahan-bahan letupan berbahaya termasuk kimia, biologi dan sisa toksik, jenayah siber, perjudian dalam talian dan pelacuran yang melibatkan wanita rakyat tempatan dari China.
Dalam pertemuan dengan Mr. Sun tadi juga, Tan Sri Razarudin menyatakan hasrat PDRM untuk meneroka peluang teknologi pengawasan terkini yang digunakan di China termasuk sistem pengecaman wajah dan sistem kamera litar tertutup yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan.
Beliau turut melahirkan hasrat PDRM untuk berkolaborasi dalam beberapa bidang tertentu yang diyakini dapat memperkukuh lagi keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang negara.
Sebagai ketua delegasi PDRM dalam siri lawatan kerja ke China tahun ini, Tan Sri Razarudin turut mengambil kesempatan untuk memperkukuh bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepolisan dengan pihak berkuasa negara China.
Beliau menegaskan hasrat untuk menjadikan Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur (KL) sebagai sebuah pusat rujukan pembelajaran dan pertukaran “expertise” dalam hal ehwal jenayah dengan mempelawa China berkongsikan kepakaran mereka dengan Malaysia serta negara-negara serantau lain di Asia Tenggara melalui program “Training of Trainers”.
Hasrat tersebut dizahirkan melalui kesediaan PDRM untuk menyediakan kemudahan fasiliti bagi pakar-pakar pencegahan jenayah dari negara China di Maktab PDRM KL bagi tujuan perkongsian data dan pertukaran maklumat jenayah untuk manfaat rakyat di kedua-dua negara.
Yang turut hadir dalam pertemuan dua hala tadi ialah Presiden Universiti Keselamatan Awam China, Mr. Wang Yi, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ekonomi di Kementerian Keselamatan Awam China, Mr. Ou Yang, Timbalan Pengarah Jabatan Sains dan Teknologi China, Mr. Zu Yhongji dan Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Kementerian Keselamatan Awam China, Mr. Fu Dongsheng.
Manakala delegasi PDRM tadi turut disertai oleh Timbalan Pengarah (Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Roze Shaari, Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa), SAC Dato’ Pahlawan Suparamaniam Ramasamy dan Superintenden Perhubungan Antarabangsa Bukit Aman, Superintenden Loh Pei Pei.






\
\