
Article
Kpn Terima Kunjungan Hormat Delegasi Ypbn
Kuala Lumpur, 14 Oktober 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada delegasi Yayasan Pembang...
Kuala Lumpur, 14 Oktober 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada delegasi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) di Bilik Tetamu KPN, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, hari ini.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengelola, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar telah membincangkan mengenai pelancaran buku “Coffee Table” PDRM serta perancangan melaksanakan jelajah galakan membaca buku PDRM di seluruh negeri selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin membudayakan masyarakat membaca.
Buku “Coffee Table” yang bakal dilancarkan ini berkisarkan mengenai sejarah, kejayaan, cabaran, halangan serta perancangan PDRM masa kini dan masa hadapan dalam menguatkuasakan undang-undang demi keharmonian negara.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Roze Shaari, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato' Kamaruzaman Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, SAC Rahimi Ra’ais serta Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin.
Jurugambar: Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri






