
Article
Kpn Serikan Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2025
Kuala Lumpur, 1 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir menyerikan Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2025...
Kuala Lumpur, 1 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir menyerikan Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pagi tadi.
Tan Sri Razarudin yang tiba di pekarangan stadium kira-kira jam 9.15 pagi telah disambut oleh Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan sebelum dibawa ke Axiata Arena untuk sambutan tersebut.
Program anjuran Kementerian Sumber Manusia itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang pada kali ini mengangkat tema “Pekerja Kesuma Bangsa”.
Dalam majlis sama, Dato’ Seri Anwar turut melancarkan aplikasi MyFutureJobs bagi membolehkan permohonan pekerjaan dengan pantas dan Kad Pekerja MADANI yang bakal memberi manfaat diskaun sebanyak 10 ke 20 peratus kepada penerima apabila berbelanja di 100 premis pengusaha perniagaan terpilih.
Seusai majlis, Tan Sri Razarudin bersama Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengiringi Dato’ Seri Anwar menyantuni para pengunjung yang hadir di pekarangan stadium.
Turut hadir, Timbalan PM I merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan PM II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato' Sri Hj. Fadillah Yusof, barisan jemaah menteri bersama timbalan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz, barisan ketua agensi perkhidmatan dan Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohd Rodhi serta rakan media.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.