
Artikel
Kpn Sempurnakan Peluncuran Program Diploma Kepolisan Dan Spkp Pdrm
Hulu Selangor, 2 September 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail telah menyempurnakan Peluncuran Program Diploma Kepolisan d...
Hulu Selangor, 2 September 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail telah menyempurnakan Peluncuran Program Diploma Kepolisan dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung di Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, di sini, pagi tadi.
Ketibaan beliau sekitar jam 10.00 pagi disambut Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid.
Berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid berkata, program akademik baharu itu dibangunkan bagi memperkasa modal insan PDRM selaras dengan Pelan Strategik PDRM (PSPDRM) 2021-2025, ke arah meningkatkan profesionalisme, kompetensi dan imej pasukan keselamatan negara.
Empat program ditawarkan di bawah Diploma Kepolisan yang telah menerima Akreditasi Sementara daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), iaitu Diploma Pengurusan Kepolisan (DPK), Diploma Siasatan Kepolisan (DSK), Diploma Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) serta Diploma Perisikan Keselamatan (DSI).
Menurut beliau lagi, kerjasama erat dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia turut diperluaskan melalui pembangunan SKPK, yang merangkumi Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5 dalam bidang pengurusan operasi kepolisan.
Jelasnya, inisiatif itu bakal melahirkan pegawai dan anggota PDRM yang berilmu, berkemahiran tinggi serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa, di samping memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.
Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya JPK, MQA dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang bekerjasama dalam menjayakan pelaksanaan program tersebut.
Majlis turut menyaksikan Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid dengan diiringi Tan Sri Ayob Khan dan Dato’ Sri Abdul Aziz melancarkan gimik Program Diploma Kepolisan sebelum tayangan video montaj yang dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Turut hadir, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan, Pengarah Bahagian Akreditasi Sains Sosial MQA, Puan Zakiah Abdul Wahab, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentauliahan, Kementerian Sumber Manusia, Tuan Aziman Othman, wakil Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, Leftenan Kolonel Dr. Noor Azmi Mohd Zainol dan Komandan Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, ACP Mohd Sabri Abdullah.
Jurugambar: Koperal Muhamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.




