
Article
Kpn Sempurnakan Majlis Apc Pdrm Tahun 2023
Kuala Lumpur, 7 Mac 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 P...
Kuala Lumpur, 7 Mac 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, petang tadi.
Ketibaan Tan Sri Razarudin sekitar jam 3 petang telah disambut Timbalan KPN, DIG Dato' Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim.
Bagi tahun 2023, seramai 10,413 warga Pasukan menerima APC bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan mereka. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,068 orang merupakan pegawai kanan polis, 8,376 pegawai rendah polis dan bakinya adalah pegawai awam.
Kesemua penerima anugerah membawa pulang Sijil Penghargaan dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Tan Sri Razarudin.
Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Razarudin menjelaskan bahawa pengiktirafan kepada penerima APC ini menjadi asas sokongan bagi proses kenaikan pangkat.
“Semoga ia juga dapat menjadi suntikan semangat kepada para penerima serta warga Pasukan yang lain, untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atas kesudian menyampaikan “Mock Cheque SAHABAT PTPTN” kepada Tabung Kebajikan PDRM.
Majlis diteruskan dengan penyerahan “mock cheque” oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid kepada Tan Sri Razarudin sempena insentif sahabat APC 2023 dan penyampaian sumbangan takaful serta khairat kematian kepada penerima yang layak.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan para pegawai kanan serta rakan media.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Lans Koperal Bryanlie Mustin




