Article
Kpn Sampaikan Watikah Pelantikan Inspektor Kor Suksis Uitm Kali Ke 9 Tahun 2024
Shah Alam, 15 Ogos 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Majlis Penyampaian...
Shah Alam, 15 Ogos 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kali Ke-9 Tahun 2024 di Padang Kawad UiTM, di sini.
Hadir sama dalam majlis perbarisan dan pentauliahan pagi tadi ialah Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan serta Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Seramai 252 Inspektor Kor SUKSIS UiTM ditauliahkan hari ini terdiri daripada mereka yang bakal menamatkan pengajian di peringkat ijazah dalam pelbagai bidang pengajian di lapan buah UiTM seluruh Malaysia.
Pecahan jumlah itu menyaksikan 102 Inspektor Kor SUKSIS lelaki dan selebihnya adalah wanita yang telah berjaya menamatkan modul latihan kepolisan dengan penuh disiplin serta dedikasi sepanjang enam semester atau 672 jam pengajian.
Antara modul latihan yang telah diikuti oleh mereka ialah latihan kawad, pengendalian senjata api, asas Pasukan Gerakan Am serta asas pertolongan cemas dan menyelamat.
Berucap dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin sempat menitipkan nasihat kepada kesemua Inspektor Kor SUKSIS yang berjaya menamatkan latihan untuk terus memupuk amalan disiplin dan integriti yang tinggi serta bersedia berbakti kepada negara.
“Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat terus membudayakan amalan disiplin dan integriti yang tinggi, mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan Negara, mematuhi undang-undang dan sedia berbakti kepada masyarakat dan negara”, ujar beliau.
Dalam majlis pentauliahan yang berlangsung gilang-gemilang di Dewan Agung Tuanku Canselor hari ini menyaksikan 24 Inspektor Kor SUKSIS mengikut kampus dipilih menerima plak penghargaan dan sijil bagi kategori Pelatih Terbaik Keseluruhan, Pelatih Terbaik Latihan Luar serta Pelatih Terbaik Akademik.
Yang turut hadir, DSP Kor SUKSIS, Prof. Madya Dr. Hj. Mohammad Noor Jalil, Ajutan Kor SUKSIS UiTM, para pegawai kanan Polis Diraja Malaysia dan warga kerja UiTM serta rakan media.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Konstabel Muhammad Adzha Ahmad Zulkopli




