
Article
Kpn Saksi Ikrar Sumpah Taat Setia 316 Pelatih Polis Bantuan Mahb Tamat Latihan
Sepang, 11 April 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir menyaksikan laungan ikrar dan sumpah taat setia oleh 316 pelatih Polis Bant...
Sepang, 11 April 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir menyaksikan laungan ikrar dan sumpah taat setia oleh 316 pelatih Polis Bantuan pada Majlis Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang berlangsung di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi tadi.
Majlis yang disempurnakan oleh Tan Sri Razarudin itu sebagai meraikan kejayaan 15 pelatih pegawai dan 301 anggota MAHB selepas menamatkan latihan asas selama enam bulan yang bermula pada 5 Oktober tahun lalu di bawah kendalian Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) dan School of Aviation Security Malaysia Airport Training Centre.
Terdahulu, ketibaan Tan Sri Razarudin kira-kira jam 8.30 pagi tadi telah disambut oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad bersama Pengerusi MAHB, Dr. Nungsari Ahmad Radhi sebelum dibawa menerima tabik hormat dari detasmen kawalan kehormatan.
Berucap dalam majlis berkenaan, Tan Sri Razarudin menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pegawai Aviation Security atas kejayaan menamatkan latihan asas dengan cemerlang.
“Kejayaan ini menjadi titik permulaan perjalanan kerjaya tuan-tuan dan puan-puan sebagai seorang Pegawai Polis Bantuan MAHB”, ujarnya.
“Sebagai benteng barisan hadapan di pintu masuk utama negara, Pegawai Polis Bantuan MAHB mempunyai peranan yang amat kritikal dan perlu sentiasa bersiap siaga bagi mendepani sebarang bentuk ancaman untuk memastikan kelancaran pengoperasian sistem pengangkutan udara negara kekal selamat. Optimumkan tahap disiplin, patuhi peraturan dan laksanakan tugas dengan penuh berintegriti.” tambahnya lagi.
Tirai perbarisan tadi ditutup dengan persembahan lintas hormat dari Pancaragam Pusat Polis Diraja Malaysia yang dipimpin oleh Penolong Pengarah Muzik Pusat, Inspektor Dzelfa Zainal Abidin dan dibantu oleh Drum Major, Koperal Mohamad Fahrul Radza Ramlan disusuli persembahan tangkas kemahiran seni mempertahankan diri menggunakan T-Baton oleh para pelatih.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan, Pengarah Urusan, Kumpulan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izzani Ghani, barisan pengurusan tertinggi MAHB, Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Azman Shari’at, Timbalan Komandan (Latihan) PULAPOL KL, ACP Muhammad Najib Hamzah dan para pegawai kanan polis serta ahli keluarga para pelatih.
Jurugambar: Koperal Muhamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.

















