
Artikel
Kpn Rasmi Tamat Latihan Plak Bagi 238 Inspektor Pelatih
Seramai 238 pelatih iaitu 189 lelaki dan 49 wanita berjaya menamatkan latihan dengan penuh kecekalan dan kesabaran demi mengubah masa hadapan serta menyumbang...
Kuala Lumpur, 2 September 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih Bilangan 9 Siri 2/2021 yang berlangsung di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini pagi tadi.
Tan Sri Acryl Sani dalam ucapannya berkata, seusai majlis ini, maka bermulalah dunia kepolisan sebenar buat semua sebagaimana yang pernah beliau tempuhi dahulu.
"Sesungguhnya, besar amanah serta tanggungjawab yang menanti anda demi menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada sebarang bahaya serta mudarat awam,” kata beliau.
Ujar beliau lagi, keamanan yang Malaysia kecapi hari ini merupakan ‘nikmat’ terbesar yang perlu disyukuri dan dihargai serta dipertahankan oleh warga Pasukan demi menyambung khidmat bakti pejuang terdahulu yang berkorban nyawa demi memerdekakan tanah air.
Kenangan indah turut terlakar dalam majlis tadi apabila empat pelatih iaitu Inspektor Tan Yow Sheng dianugerahkan Pelatih Terbaik Keseluruhan, Inspektor Muhammad Husni Abu Hassan sebagai Pelatih Terbaik Akademik dan Inspektor Mazlan Abituh serta Inspektor Christina Edris masing-masing diumumkan Pelatih Terbaik Latihan Luar lelaki dan Wanita.
Turut hadir, barisan pengarah Polis Diraja Malaysia, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, DCP Dato' Nerita Yaacob, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Hj. Kamal Faizul Mohd Zain, barisan komandan, para pegawai kanan dan ahli keluarga pelatih.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.














































































