
Artikel
Kpn Rasmi Penutupan Bengkel Pemeriksaan Permohonan Projek Rmke 13 Tahun 2026
Alor Setar, 14 November 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini berbesar hati merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pemeriksaan Per...
Alor Setar, 14 November 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini berbesar hati merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pemeriksaan Permohonan Projek Di Bawah Rancangan Malaysia Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) Tahun 2026 Bagi Projek Fizikal dan Bukan Fizikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bandar Alor Setar, di sini, pagi tadi.
Majlis pagi tadi dimulakan dengan sesi penggulungan taklimat akhir yang disampaikan oleh Ketua Urus Setia (Analisis dan Pembangunan Teknologi) JLog Bukit Aman selaku penganjur majlis, SAC Muhammad Hanif Othman bagi mencapai kata sepakat terhadap permohonan projek yang bakal diusulkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pada RMKe-12 lalu, menyaksikan PDRM mendapat kelulusan sebanyak 68 projek yang bernilai RM3.1 bilion meliputi Projek Fizikal dan Bukan Fizikal.
KPN dalam ucapan penutupan tadi menekankan pembangunan prasarana kondusif yang meliputi kemudahan ruang pejabat dan kuarters yang selesa untuk memastikan kebajikan setiap warga PDRM terjamin, mempunyai kelengkapan logistik merangkumi persenjataan, komunikasi serta pengangkutan yang seiring dengan perkembangan teknologi terkini.
“Saya yakin dan percaya, cadangan projek baharu yang telah dibentangkan oleh setiap Jabatan dalam bengkel ini, adalah selaras dengan aspirasi gagasan Malaysia MADANI, mencakupi langkah-langkah pembaharuan fiskal yang lebih segar, di samping meningkatkan tahap keupayaan dan ketangkasan serta mutu perkhidmatan kepada rakyat”, ujar beliau lagi.
Terdahulu, malam tadi telah diadakan majlis makan malam bersempena bengkel tersebut dengan turut dihadiri oleh wakil KDN dan PDRM.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, En. Idris Spawi, Timbalan Ketua Polis Kedah, DCP Adzli Abu Shah, Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Dennis Lim Kwang Keng, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri