Artikel
Kpn Pengerusikan Mesyuarat Obk Siri 17 Bilangan 1 Tahun 2025
Kota Kinabalu, 15 Mei 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin Husain mempengerusikan Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OB...
Kota Kinabalu, 15 Mei 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin Husain mempengerusikan Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 17 Bilangan 1 Tahun 2025 yang berlangsung di The Magellan Sutera Resort, di sini.
Mesyuarat tersebut turut dipengerusikan bersama Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim dan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Puan Siti Mang.
Berucap dalam mesyuarat itu, Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin menekankan kepentingan kerjasama bersepadu antara agensi dalam memerangi jenayah hidupan liar dan pelbagai ancaman terhadap khazanah alam negara.
“Tekad dan iltizam yang dipasak perlu disusuli dengan usaha dan gerak kerja yang jitu menerusi kesepakatan ‘inter-agency’ yang ampuh. Usaha pemberdayaan yang berterusan diyakini mampu menumpaskan kegiatan jenayah hidupan liar secara inklusif, sekali gus melindungi khazanah negara daripada terus dicabuli,” ujar beliau.
Mesyuarat turut disertakan dengan sesi taklimat Pelaporan Keberhasilan OBK dan Sabah World Wide Fun, yang masing-masing disampaikan oleh Penolong Pengarah Perisikan/Siasatan Khas, Bahagian Wildlife Crime Bureau (WCB)/Perisikan dan Siasatan Khas (PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Superintenden Ahmad Amri Abd Rahman dan Puan Joannie Jomitol dari Wildlife Protection Unit.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am), Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, Timbalan Pengarah (WCB/PSK), Jabatan KDNKA Bukit Aman, SAC Mohammad Azlin Hj. Sadari, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, ACP Julina Salehuddin serta wakil-wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan berkaitan.
Malam tadi Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin turut menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi OBK yang diadakan di lokasi sama sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama erat pelbagai agensi penguat kuasa dalam menjayakan pelaksanaan OBK.
Jurugambar: Koperal Muhamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin





