
Article
Kpn Iring Raja Muda Perlis Santuni Pasukan Keselamatan Di Kudat 20250312
Kudat, 9 Mac 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin Husain mengiringi Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed...
Kudat, 9 Mac 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin Husain mengiringi Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyantuni pasukan keselamatan, di sini, semalam.
Keberangkatan tiba Baginda di Marina Jetty telah disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Perlis, DCP Dato Muhammad Abdul Halim.
Kehadiran Baginda di negeri bawah bayu itu merupakan program Kerajaan Negeri Perlis ke Negeri Sabah (PERBAH) Tahun 2025 yang dianjurkan saban tahun.
Baginda memulakan lawatan dengan mengunjungi pos di Pulau Balambangan yang dioperasikan oleh Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan kemudiannya ke Pulau Malawali yang menempatkan petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Sabah dan seterusnya Pulau Jambongan yang turut menempatkan Pos ATM dengan melibatkan kerjasama kawalan keselamatan bersama di perairan tanah air daripada Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam lawatan yang diadakan, Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada setiap petugas di pos berupa peralatan harian untuk keselesaan pegawai dan anggota yang bertugas.
Dengan slogan 'Masyarakat Berpisah Tiada', ia dizahirkan melalui keprihatinan Raja Muda Perlis bersama Tan Sri Razarudin beramah mesra dengan penduduk setempat dalam mengeratkan lagi hubungan bersama rakyat di samping mengenali pucuk pimpinan PDRM.
Mengakhiri lawatan, delegasi Raja Muda Perlis berkenan singgah di Balai Polis Karakit dengan diiringi KPN dan disambut oleh Ketua Polis Balai, ASP Mohd Yassin Sagap. Baginda seterusnya dibawa meninjau ke kawasan sekitar untuk melihat keadaan keselamatan di Pulau Banggi.
Pada sebelah malamnya pula, telah berlangsung Majlis Iftar Ramadan Raja Muda Perlis bersama warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat yang diadakan di dewan tertutup IPD.
Raja Muda Perlis dalam titahnya menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga kerja PDRM terutama IPD Kudat yang turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan lain dalam menjayakan eksesais PERBAH tahun 2025.
Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada PDRM yang mempamerkan “wow factor” merangkumi aset-aset daripada PPM dan Pasukan Gerakan Udara sepanjang lawatan berlangsung.
Terdahulu, Tan Sri Razarudin mengiringi Baginda menunaikan solat fardu Maghrib sebelum menikmati juadah berbuka puasa bersama warga kerja PDRM, ATM dan APMM.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datin Seri Panglima Datuk Zainah Othman, Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) PGA, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohd Rodhi, Ketua Jabatan KDNKA Kontinjen Sabah, SAC Abdul Fuad Abdul Malek bersama isteri, Puan Fauziah Nor Mohd Ali, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim bersama isteri, Puan Zaleda Yunus dan Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Hj. Ibrahim serta isteri, Puan Rosnani Ragani.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin





