
Artikel
Kpn Iring Ketua Menteri Melaka Santuni Warga Pasukan Dalam Community Policing Hargai Jasa Pengorbanan Pesara Pdrm
Melaka, 14 Disember 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain petang tadi mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke...
Melaka, 14 Disember 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain petang tadi mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Program “Community Policing” yang berlangsung dekat bangunan lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir, di sini.
Ianya juga adalah sebagai simbolik acara rasmi penutupan bangunan lama IPD yang telah berusia 100 tahun itu dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada warga Pasukan yang kini ditempatkan sementara di bangunan baharu yang terletak di Batu Berendam, tidak jauh dari lokasi asal.
Seusai jamuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada warga Pasukan, pesara dan jemputan, majlis tadi turut disusuli dengan pelbagai acara kesenian dan kebudayaan asli negeri Melaka.
Majlis kemudian disusuli dengan acara tradisi penuh adat istiadat kepolisan untuk menurunkan bendera Jalur Gemilang, bendera Negeri Melaka dan Sang Saka Biru pada tepat jam 6.00 petang sambil disaksikan oleh kesemua yang hadir.
Majlis yang berlangsung dalam suasa meriah penuh muafakat tadi diakhiri dengan sesi penyampaian sumbangan kebajikan berupa kerusi roda, tongkat dan katil pesakit kepada 10 warga IPD Melaka Tengah yang memerlukan bantuan kesihatan.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Datuk Seri Utama Ab Rauf dengan diiringi Tan Sri Razarudin.
Turut disampaikan adalah Anugerah Khas kepada tiga mentor PDRM yang merupakan anak watan negeri Melaka atas khidmat bakti yang tidak ternilai telah mereka curahkan kepada bangsa dan negara terutamanya di negeri Bandaraya Bersejarah itu.
Mereka yang diraikan tadi tidak lain dan tidak bukan pastinya bekas KPN, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Wira Hj. Hamza Taih dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (I) Bukit Aman, Dato’ Ramli Hassan.
Turut bersama dalam program tadi ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Dato' Azhar Hj. Arshad, Ketua Polis (KP) Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan, Timbalan KP Melaka, SAC Datuk Md Nazri Zawawi, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah dan barisan pegawai dari pejabat Kerajaan Negeri Melaka serta PDRM.
Jurugambar: Konstabel Muhammad Azri Sabri





