
Article
Kpn Hadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke 15
Kuala Lumpur, 19 Januari 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen...
Kuala Lumpur, 19 Januari 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 yang berlangsung di Bangunan Parlimen, di sini, pagi tadi.
Berangkat merasmikan istiadat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Istiadat bersejarah itu menandakan permulaan Sidang Parlimen bagi penggal kelima, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta mencerminkan kelangsungan amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan di negara ini.
Turut hadir ialah Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan PM I merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan PM II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato' Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Dr. Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.
Dalam Titah Diraja, Seri Paduka Baginda menegaskan beberapa perkara termasuk memerangi rasuah secara menyeluruh tanpa tiada sesiapa pun dilindungi daripada tindakan undang-undang.
Baginda turut menekankan mengenai keperluan memperkukuh undang-undang berkaitan keselamatan dan ancaman luar, bagi memastikan keharmonian semua kaum, kestabilan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Turut hadir, barisan Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua-ketua perwakilan asing dan barisan pegawai kanan agensi-agensi di bawah KDN.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Syafiq Abu Bakar


