
Artikel
Kpn Hadir Sesi Libat Urus Cadangan Alternatif Pindaan Poca 1959 Di Putrajaya
Putrajaya, 5 Disember 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain meneruskan tugas rasmi dengan menghadiri Sesi Libat Urus Cadangan Alternatif...
Putrajaya, 5 Disember 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain meneruskan tugas rasmi dengan menghadiri Sesi Libat Urus Cadangan Alternatif Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 [Akta 297] di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.
Sesi yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tadi melibatkan wakil kementerian dengan jabatan berkaitan bersama para pegawai kanan Polis Diraja Malaysia yang turut serta memberikan pelbagai input berkaitan cadangan alternatif pindaan akta berkenaan.
Sesi libat urus itu merupakan inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas semua pemegang taruh dalam menentukan hala tuju POCA.
Turut hadir dalam sesi tadi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Program tadi dimulai dengan taklimat ringkas oleh Penolong Setiausaha (Pentadbiran dan Keurusetiaan), Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Encik Kamal Fitri Baharudin sebelum disusuli dengan ucapan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Sesi yang berlangsung hampir satu jam tadi turut disusuli dengan ruangan soal jawab bersama para jemputan yang hadir.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Rusdi Mohd Isa.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini, Lans Koperal Nurkhairunisa Ibrahim dan Konstabel Nur Sabrina Ghazali.