
Artikel
Kpn Hadir Majlis Penutupan Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024
Putrajaya, 2 September 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain petang tadi hadir ke Majlis Penutupan Persidangan Keselamatan Dalam Negara...
Putrajaya, 2 September 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain petang tadi hadir ke Majlis Penutupan Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 di Hotel Marriott, di sini.
Majlis yang bermula sekitar jam 4.45 petang tadi disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Program yang julung kali dianjurkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertemakan ‘Keselamatan Bukan Untuk Dikompromi’ bertujuan mengenal pasti ancaman utama keselamatan dan ketenteraman awam negara secara holistik berasaskan data selain mengenal pasti strategi bagi menangani ancaman utama keselamatan negara yang rentas masa.
Terdahulu di sebelah pagi telah berlangsungnya perasmian persidangan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi sebelum disusuli dengan pembentangan mengikut kluster seterusnya forum penggulungan daripada empat kluster dan diakhiri pembentangan resolusi persidangan kepada MDN.
Persidangan tersebut melibatkan pembentangan 30 kertas perbincangan dalam empat kluster meliputi Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Keselamatan Sempadan, Keselamatan Siber dan Keselamatan Sosial.
Seramai 800 orang peserta terlibat dari pelbagai latar belakang seperti agensi kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemain industri.
Turut diadakan, pameran reruai daripada beberapa agensi berkaitan dengan keselamatan dalam negara yang menyediakan pelbagai informasi bermanfaat kepada pengunjung.
Hadir sama, barisan Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali, Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, barisan Ketua Jabatan Agensi Keselamatan dan Pengarah PDRM serta rakan media.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini




