
Article
Kpn Hadir Majlis Penutup Dan Pengurniaan Hadiah Mthqa Ke 64 Di Wtckl
Kuala Lumpur, 12 Oktober 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razaruddin hadir memenuhi jemputan ke Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilaw...
Kuala Lumpur, 12 Oktober 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir memenuhi jemputan ke Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 1446 Hijrah/2024 yang berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam tadi.
Beliau telah disambut oleh Ketua Polis Kuala Lumpur , CP Dato’ Rusdi Mohd Isa bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman setibanya di lokasi acara.
Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang sekali gus berkenan menyempurnakan majlis penutupan dan pengurniaan hadiah kepada para pemenang yang bertanding.
Bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” ia merupakan manifestasi dari inti pati ajaran Rasulullah SAW dan sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini kearah kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat. Pembangunan ummah yang berteraskan konsep Al-Falah (kejayaan) perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI.
MTHQA tahun ini menyaksikan peserta dari Malaysia telah dinobatkan sebagai johan qari iaitu Encik Muhammad Husaini Mahmur manakala Puan Nor Hidayah Abdul Rahman sebagai johan qariah.
Bagi kategori johan hafazan lelaki dan wanita telah dimenangi oleh peserta dari negara Niger iaitu Encik Oubaydoullah Boubacar Ango dan Puan Habsatou Hamissou Boubacar. Kesemua pemenang pada malam ini membawa pulang wang tunai, hadiah iringin serta sijil penghargaan.
Secara keseluruhannya, seramai 92 peserta dari 71 buah negara termasuk Malaysia telah mengambil bahagian iaitu peserta tilawah seramai 53 orang (39 lelaki dan 14 perempuan) mewakili 41 buah negara. Bagi kategori hafazan pula seramai 39 orang peserta hafazan (26 lelaki dan 13 perempuan) mewakili 36 negara turut bersaing mempamerkan keindahan al-Quran kali ini.
Tan Sri Razarudin bersama dif-dif kenamaan lain turut diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada johan qari, Encik Muhammad Husaini.
Antara yang hadir dalam majlis tadi, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Haji Mahiruddin, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M Jasni, barisan jemaah menteri, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab. Rahman, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul, barisan Ketua Setiausaha Kementerian, para Ketua Pengarah Persekutuan dan perwakilan asing.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin






