
Article
Kpn Hadir Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani
Kuala Lumpur, 27 Mac 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menghadiri Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid MADANI yang telah disempurna...
Kuala Lumpur, 27 Mac 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menghadiri Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid MADANI yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah, di sini, pagi tadi.
Ketibaan Tan Sri Razarudin kira-kira jam 9.30 pagi tadi disambut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman di pekarangan tapak pembinaan masjid berkenaan.
Pembinaan masjid tersebut adalah kerana keperluan mendesak akibat kepadatan jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid India dan Surau Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Justeru, JAKEL melalui Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel bersama keluarga berbesar hati untuk membina sebuah masjid setinggi empat tingkat yang bukan sahaja selesa, malah boleh memuatkan hampir 2,900 jemaah.
Dato’ Seri Anwar menggunakan mesin pemecah batu sebagai simbolik perasmian kepada bangunan yang bakal dibina itu sambil disaksikan oleh Timbalan PM merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato' Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof bersama-sama Tan Sri Razarudin.
Seusai itu, majlis diteruskan dengan pemberian bantuan kepada golongan asnaf, rumah anak yatim dan golongan Orang Kurang Upaya Penglihatan oleh Kumpulan JAKEL di ruang legar JAKEL Mall serta jualan rahmah buat para pengunjung.
Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Dr. Johari Abdul, barisan menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan serta agensi Kerajaan Persekutuan, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Rusdi Mohd Isa serta rakan-rakan media.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar