
Article
Kpn Fokus Tujuh Perkara Tingkat Kualiti Perkhidmatan Pasukan Polis
Kuala Lumpur, 19 Julai 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menfokuskan tujuh perkara dalam amanat beliau sempena Perhimpunan Bulanan K...
Kuala Lumpur, 19 Julai 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menfokuskan tujuh perkara dalam amanat beliau sempena Perhimpunan Bulanan KPN anjuran Jabatan Pengurusan yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Perkara-perkara tersebut ditekankan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan Pasukan Polis sebagai peneraju keselamatan, menerusi segala perancangan, pembangunan dan pelaksanaan di bawah Jabatan Pengurusan.
Antaranya adalah Pelan Strategik Polis Diraja Malaysia (PSPDRM) 2021-2025 yang menggariskan hala tuju strategik PDRM dari aspek pembangunan, pemodenan pengurusan dan sistem penyampaian perkhidmatan PDRM, bagi memenuhi ekspektasi pemegang taruh (stakeholder).
PSPDRM mempunyai enam Teras Strategik dengan 23 Pengurusan Prestasi (KPI) terpilih, 32 strategi, 135 program dan 362 aktiviti yang telah dipertanggungjawabkan kepada jabatan-jabatan yang berkaitan.
“PDRM menerusi Jabatan Pengurusan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan warga Pasukan serta memantapkan sistem dan prosedur kerja bagi memastikan kelangsungan tadbir urus yang cemerlang,” ulas beliau.
Tambahnya lagi, Jabatan Pengurusan menerusi Bahagian Latihan sedang dalam proses untuk mengorak langkah melahirkan sumber manusia yang kompeten melalui program latihan kepolisan yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Ke arah itu, kajian semula ke atas Modul Silibus Program Latihan Asas Kepolisan turut dilaksanakan untuk penambahbaikan,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai Institusi Latihan PDRM yang bertanggungjawab melahirkan generasi pegawai polis yang berketerampilan unggul. Atas peri pentingnya peranan institusi itu, kajian pengukuhan perjawatan bagi pensyarah dan tenaga pengajar dilaksanakan dengan menitikberatkan kelayakan akademik mereka.
Jelasnya, sebagai perintis, pengukuhan perjawatan tenaga pengajar sedang dilaksanakan di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dan PULAPOL Bukit Sentosa di mana semua calon tenaga pengajar yang berkhidmat di institusi berkenaan hendaklah memiliki kelulusan akademik sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dan ke atas.
Tan Sri Razarudin turut menyampaikan amanat beliau berkenaan kenaikan pangkat secara “Time Based”dan “Time Based” Berdasarkan Kecemerlangan, pelantikan jawatan dalam PDRM, pelaksanaan pertukaran dan penggiliran tugas penyelia dan kejayaan warga pasukan dalam kejohanan sukan yang disertai baru-baru ini.
Turut berlangsung tadi ialah sesi penyampaian Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM bagi tahun 2023 yang dikategorikan kepada tiga iaitu Kategori A, B dan C. Anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan kepada Jawatankuasa Persatuan Penduduk yang telah mempamerkan pencapaian terbaik dalam pengurusan kuarters, di samping menggalakkan persaingan sihat dalam membudayakan nilai-nilai murni bagi membentuk komuniti sejahtera.
Perumahan PDRM Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjadi johan bagi Kategori A yang turut disertai semua IPK, Ibu Pejabat Polis Briged, Maktab PDRM dan PULAPOL.
Manakala, Kategori B dimenangi Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri yang disertai semua IPD dan Batalion Pasukan Gerakan Am seluruh Malaysia.
Sementara itu bagi Kategori C, Perumahan Balai Polis Batu Gajah, Tanah Merah muncul juara bagi semua Balai Polis.
Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan Tan Sri Razarudin dengan diiringi Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Pengarah Pengurusan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim.
Kesemua pemenang bagi setiap kategori menerima Sijil Penghargaan KPN bersama trofi berbentuk plak, di samping wang tunai sumbangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.
Hadir sama dalam perhimpunan tadi ialah barisan Pengarah serta Timbalan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri




