
Artikel
Kpn Dan Timbalan Mdn Bersama Warga Pdrm Dalam Majlis Iftar
Kuala Lumpur, 6 Mac 2026–Keberkatan bulan Ramadan yang disambut oleh warga Polis Diraja Malaysia terus disemarakkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Dalam Neg...
Kuala Lumpur, 6 Mac 2026–Keberkatan bulan Ramadan yang disambut oleh warga Polis Diraja Malaysia terus disemarakkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Dalam Negeri (Timbalan MDN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah dan isteri, Datin Seri Hamisah Hussin dalam Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni yang diadakan di Masjid Bukit Aman, semalam.
Majlis yang diadakan bersempena Program Jelajah MADANI 2026 itu turut dihadiri Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose. Ia menjadi platform memperkukuh ukhuwah serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan kepimpinan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan warga PDRM, selaras dengan penghayatan Ramadan yang penuh keberkatan.
Dalam majlis tersebut, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar turut menyempurnakan penyampaian sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) serta sumbangan peribadi daripada Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose kepada 50 orang anak istimewa dan anak yatim kalangan warga PDRM.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh bekas Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Ustaz Roslan Mohamed yang mengupas keistimewaan Ramadan sebagai bulan penuh rahmat, keampunan dan penyucian jiwa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Datuk Zulkifli Abidin, Ketua Divisyen Perkhidmatan Korporat YAPEIM, Encik Saiful Khairi Kamarudin serta barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Azri Mohd Sabri.




