
Article
Kpn Dan Timbalan Kpn Hadir Majlis Peluncuran Ipfc
Kuala Lumpur, 3 Disember 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Ma...
Kuala Lumpur, 3 Disember 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Majlis Peluncuran IPFC (IPCC, Police, Friends and Collaborators) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.
Ketibaan Dato' Seri Anwar di dewan tersebut telah diiringi Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Berucap sempena peluncuran IPFC, Dato' Seri Anwar menyatakan bahawa, demi kemajuan Malaysia, isu tatakelola, integriti, pembanterasan rasuah dan penyalahgunaan kuasa seharusnya diberi tumpuan utama.
"Mengikut pengalaman saya selama dua tahun menerajui kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan sebuah institusi terpenting dalam memberi makna dan menjamin kejayaan negara kita. Oleh itu, saya ingin menyatakan penghargaan terima kasih kepada seluruh pasukan PDRM", ujar beliau.
Seusai ucapan, Dato' Seri Anwar yang diiringi Datuk Seri Saifuddin bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' (Dr.) Johari Abdul, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz, Tan Sri Razarudin dan Pengerusi IPCC, Datuk Zolkopli Dahalan, menandatangani plak sebagai simbolik perasmian dan disusuli tayangan montaj khas berkenaan pelan strategik dan objektif IPFC sebagai gimik pelancaran.
IPFC merupakan inisiatif di bawah pelan strategik Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dalam meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya tahap integriti pegawai dan anggota polis yang akan memberi impak kepada kestabilan ekonomi, keharmonian rakyat dan keselamatan negara.
Antara objektif utama IPFC adalah bagi membantu memantau tatakelakuan anggota pasukan polis, melindungi hak asasi orang awam dan anggota pasukan polis, meningkatkan kerjasama polis, organisasi, institusi dan orang awam, memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan IPCC serta meningkatkan imej serta nama baik negara.
Dalam majlis sama, tetamu kehormat turut dipersembahkan dengan lagu rasmi IPCC bertajuk "Janji Integriti", yang merupakan satu manifestasi iltizam untuk memartabatkan integriti sebagai tunjang utama dalam perkhidmatan pasukan polis.
Hadir sama, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, barisan ketua agensi di bawah KDN, barisan Pengarah PDRM dan Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Rusdi Mohd Isa.
Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Sabri.




