
Article
Kpn Dan Pengerusi Perkep Malaysia Adakan Lawatan Kerja Rasmi Ke Kontinjen Kuala Lumpur
Kuala Lumpur, 8 April 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PER...
Kuala Lumpur, 8 April 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Ketibaan kedua-duanya disambut oleh Ketua Polis (KP) Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus bersama Pengerusi PERKEP Kontinjen Kuala Lumpur, Datin Nurashidah Ishak.
Seterusnya, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid memeriksa kawalan kehormatan utama di Dataran Perkasa yang melibatkan tiga pegawai dan 102 anggota, diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Mohd Haniff Ab Razak.
Beliau kemudiannya menghadiri sesi kunjungan hormat di Bilik Kunjungan Hormat IPK Kuala Lumpur sebelum mendengar taklimat yang disampaikan oleh Dato’ Fadil berhubung latar belakang serta fungsi operasi kontinjen. Taklimat tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Perdana dan diikuti dengan sesi perjumpaan bersama warga Pasukan.
Dalam amanatnya, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menzahirkan rasa bangga serta setinggi-tinggi penghargaan atas dedikasi dan komitmen cemerlang yang dipamerkan oleh seluruh warga Polis Diraja Malaysia dalam melaksanakan tugas.
Beliau turut menekankan komitmen berterusan Pasukan dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti demi kesejahteraan masyarakat dan kedaulatan negara, di samping memperkukuh institusi kepolisan yang profesional, berintegriti serta berorientasikan keperluan masyarakat selaras dengan Fokus Utama KPN.
Beliau juga menegaskan bahawa setiap warga merupakan aset strategik yang tidak ternilai serta merupakan tulang belakang kekuatan Pasukan. Justeru, kebajikan dan kesejahteraan fizikal, mental serta emosi anggota perlu sentiasa diberi keutamaan melalui penyediaan persekitaran kerja yang kondusif, sokongan moral dan peluang pembangunan kerjaya yang saksama.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog), CP Redzuan Abd Hamid dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Abdul Rahman Kassim bersama pasangan masing-masing serta Timbalan KP Kuala Lumpur, DCP Dato’ Mohd Azani Omar.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Bryanlie Mustin




