
Artikel
Kpn Bersama Pat Pengerusikan Mesyuarat Jpgk Ke 79 Bilangan 2 2024
Tawau, 28 November 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebang...
Tawau, 28 November 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan (JPGK) Ke-79 Bilangan 2 Tahun 2024 pada hari terakhir lawatan kerja rasmi beliau ke Kontinjen Sabah di Ballroom 3, Hotel Borneo Royale, di sini.
Turut bersama Tan Sri Razarudin mempengerusikan mesyuarat tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad Ab Rahman.
Tan Sri Razarudin yang tiba sekitar jam 9.00 pagi tadi disambut oleh Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman, CP Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid bersama Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, Encik Hamzah Ishak, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Jabatan Imigresen Malaysia, Datu Ken Anak Leben dan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim.
Berucap dalam mesyuarat tadi, Tan Sri Razarudin berkata, bagi memastikan negara kekal aman dan selamat, agensi keselamatan negara perlu bekerjasama dalam pelbagai aspek, terutama dalam memperkukuhkan keselamatan sempadan daripada ancaman pencerobohan dan jenayah.
“Usaha memperkukuhkan keselamatan sempadan ini sejajar dengan hala tuju Malaysia MADANI, yang bertujuan mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara. Kita perlu sentiasa bersiap siaga, baik secara fizikal mahupun mental dalam menghadapi sebarang bentuk risiko dan ancaman keselamatan,” ujarnya.
Antara intipati yang dibincangkan tadi adalah berkaitan perancangan dan penyelarasan strategi untuk menangani isu-isu keselamatan negara terutamanya jenayah rentas sempadan yang mana masih sukar untuk dikawal sepenuhnya.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohd Rodhi, Komander Eastern Sabah Security Command, DCP Datuk Victor Sanjos, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, wakil-wakil daripada Kementerian, Jabatan serta Agensi Persekutuan.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin