
Article
Kpn Bersama Lebih 10 Ribu Rakyat Malaysia Meriahkan Sambutan Hsn Peringkat Kebangsaan Tahun 2024
Putrajaya, 12 Oktober 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir memeriahkan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan Tahu...
Putrajaya, 12 Oktober 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir memeriahkan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang berlangsung di pekarangan Istana Kehakiman, di sini, pagi tadi.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Ts, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negara, Tuan Abd Aziz Abd Rahman.
Dengan mengetengahkan #CergasBersama sebagai tema sambutan pada tahun ini, perasmian program anjuran KBS itu telah disempurnakan oleh Puan Hannah Yeoh.
Terdahulu, Tan Sri Razarudin turut menyertai acara senamrobik bersama lebih 10,000 rakyat Malaysia sebagai sesi memanaskan badan sebelum ucapan dan gimik perasmian mengambil tempat.
Tentatif program diteruskan dengan pelepasan para peserta bagi acara Fit Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 iaitu Larian Ria MADANI sejauh 5 kilometer (KM) dan Berjalan Untuk Negara (3KM).
Turut hadir memeriahkan sambutan, barisan Timbalan Menteri, KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman, KSU-KSU Kementerian, Pegawai-pegawai kanan peringkat Persekutuan dan Negeri, Ketua-ketua perwakilan asing di Malaysia, barisan dan pengamal media.
HSN Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari (bermula 11 hingga 13 Oktober 2024) turut menyediakan 64 program dan aktiviti sukan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan.
HSN yang disambut serentak di seluruh negara merupakan agenda nasional bagi membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas serta aktif. Ia disambut secara tahunan pada minggu kedua bulan Oktober.
Sementara itu Sambutan HSN Peringkat Bukit Aman telah diadakan di Dataran Kompleks 3 dan disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan selaku Pengerusi Majlis Sukan PDRM, CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Pengurusan, Datin Sri Sharifah Rodziah Syed Agil.
Dato’ Sri Azmi ketika menyampaikan Perutusan KPN telah menekankan mengenai pentingnya penglibatan warga Polis Diraja Malaysia dalam aktiviti sukan bagi memastikan kecergasan dan kesiapsiagaan pegawai polis berada pada tahap yang optimum, sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran dalam penugasan harian.
Dato’ Sri Azmi Abu Kassim turut menyertai acara senamrobik bersama lebih 500 warga Bukit Aman sebelum menyempurnakan pelepasan acara larian sejauh 4KM ke Taman Botani Perdana.
Hadir sama, barisan Timbalan Pengarah dan Ketua-ketua bahagian Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri








