
Artikel
Kpn Bersama Kepimpinan Pdrm Hadir Perhimpunan Bulanan Kdn
Putrajaya, 5 Mac 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama barisan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadiri Pe...
Putrajaya, 5 Mac 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama barisan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan Mac tahun 2026 yang berlangsung di Auditorium, Setia Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa, di sini, pagi tadi.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam amanatnya, beliau menyeru seluruh warga kementerian dan agensi agar sentiasa berfikiran ke depan dalam membuat keputusan dan mengaplikasikan Kecerdasan Buatan (AI) secara strategik bagi meningkatkan mutu kerja serta sistem penyampaian kepada rakyat.
Dalam majlis sama, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid bersama tetamu kehormat turut mengiringi Datuk Seri Saifuddin Nasution bagi menyempurnakan Pelancaran Pelan Strategi Pencegahan Rasuah 2025–2029 JIM, sebagai manifestasi komitmen berterusan jabatan itu dalam memperkukuh integriti dan membanteras rasuah secara holistik, selaras dengan aspirasi kerajaan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan sesi forum bertajuk “Penghayatan Ramadan: Tadabbur Surah Al-Hujurat” yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Hj. Ahmad Fauwaz Fadzil bersama Panel Strategik Dakwah, Yayasan Dakwah Islam Malaysia, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz. Intipati forum antaranya mengingatkan mengenai nilai ukhuwah, adab dan integriti dalam organisasi.
Turut hadir, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah, Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman, barisan Timbalan KSU KDN, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abd Rahman Kassim serta ketua-ketua pengarah jabatan dan agensi di bawah KDN.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Basri dan Lans Koperal Nurkhairunisa Ibrahim