
Artikel
Kpn Bersama Isteri Hadir Meriahkan Hari Keluarga Utk Pdrm
Kuala Lumpur, 10 September 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri, merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) M...
Kuala Lumpur, 10 September 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri, merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman hadir memeriahkan sambutan Hari Keluarga Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, dekat sini, pagi tadi.
Kehadiran mereka disambut oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Hazani Ghazali bersama isteri, merangkap Pengerusi PERKEP Jabatan KDNKA, Datin Sri Fadziah Hj. Abdul Hamid.
Berucap dalam majlis perasmian program pagi tadi, Tan Sri Razarudin melahirkan rasa syukur dengan penganjuran hari keluarga berkenaan kerana ia dapat memupuk semangat kekeluargaan dan setia kawan yang menjadi tonggak kekuatan setiap warga kerja unit elit PDRM ini.
“Selain mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan warga UTK, program ini juga memberi peluang kepada semua ahli keluarga masing-masing untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain,” ujar beliau.
Lebih menarik lagi apabila Tan Sri Razarudin bersama isteri turut mengambil kesempatan menyertai sukaneka bagi kategori VIP dalam acara bowling kelapa.
Terdahulu, acara yang bermula seawal jam 7 pagi itu telah diserikan dengan upacara memotong riben daripada Tan Sri Razarudin sebagai simbolik gimik perasmian hari keluarga UTK.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Encik Ahmad Farhan Fauzi bersama isteri, Puan Siti Fityah Hanum Mohamad, Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan KDNKA Bukit Aman, CP Dato' Mohd Hishamudin Tahar, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am, DCP Dato' Muhammad Abdul Halim, DCP Gerakan, Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato' Mohd Yusoff Mamat, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Pasukan Gerakan Khas, SAC Anuar Rosdi, Komander UTK, SAC Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bersama isteri, Datin Syamson Suhaila Razali dan pesara polis.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.
















